65 'mat rempit' kena cekup

65 'mat rempit' kena cekup

am@hmetro.com.my

Kuantan: Seorang remaja melakukan aksi ‘wheelie’ antara 65 ditahan ketika Operasi Khas Samseng Jalanan di sekitar bandar raya ini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, operasi itu dilancarkan susulan aduan penduduk setempat yang terganggu dengan kegiatan lumba haram di sekitar daerah ini.

Menurutnya, dalam operasi dijalankan antara 4 petang dan 11 malam tadi, 194 saman dikeluarkan dan 24 motosikal disita kerana pelbagai kesalahan.

Katanya, semua penunggang motosikal ditahan berusia antara 15 dan 25 tahun.

“Selain terbabit dengan lumba haram, mereka turut melakukan pelbagai kesalahan, antaranya nombor plat tidak ikut spesifikasi ditetapkan, tiada cermin sisi, pengubahsuaian tidak sah, ekzos bising dan tiada lesen.

“Dalam operasi itu, polis turut menahan seorang remaja berusia 18 tahun kerana menunggang motosikal secara melulu dengan melakukan aksi berbahaya ‘wheelie’ iaitu di jalan utama,

“Tindakan itu bukan hanya membahayakan diri sendiri tetapi turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Remaja terbabit disiasat siasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sabit kesalahan, individu terbabit boleh dipenjara hingga lima tahun, denda tidak melebihi RM15,000 dan lesen memandu digantung.

Mohd Adli berkata, polis akan terus melancarkan operasi sama bagi membendung samseng jalanan di sekitar bandar raya ini.

“Orang ramai, khususnya belia dinasihatkan tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat lumba haram dan melakukan aksi berbahaya,”

“Operasi bersepadu akan diadakan dari semasa ke semasa khususnya di kawasan dikenal pasti menjadi tumpuan kegiatan lumba haram termasuk laluan antara Kampung Sungai Soi ke Tanjung Lumpur.” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top