67 pegawai, anggota JBPM Terengganu konvoi 67 km sempena Hari Kebangsaan

67 pegawai, anggota JBPM Terengganu konvoi 67 km sempena Hari Kebangsaan

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu berkonvoi dengan memakai celoreng wira merah sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Lebih menarik, konvoi itu disertai seramai 67 pegawai dan anggota sejauh 67 kilometer bermula dari Ibu Pejabat JBPM Terengganu ke Bukit Maras, Batu Rakit sebagai simbolik kepada ulang tahun kemerdekaan negara.

Bukan itu saja, konvoi diketuai sendiri Pengarah JBPM Terengganu, Hassan As’ari Omar turut mendaki Bukit Maras, Batu Rakit setinggi 329 meter dari paras laut dan memacakkan Jalur Gemilang dan bendera pasukan tepat jam 6.07 petang.

Hassan As’ari berkata, konvoi yang kali pertama diadakan bertujuan menyuburkan rasa tanggungjawab terhadap keamanan negara serta menghargai kemakmuran yang dicapai negara dalam kalangan warga kerja JBPM Terengganu.

Beliau berkata, konvoi sama juga bertujuan menyemarakkan rasa cinta dalam kalangan masyarakat setempat terutamanya di kawasan Kuala Terengganu sehingga ke Bukit Maras, Batu Rakit.

“Jarak perjalanan yang kita ambil pada program kali ini adalah sejauh 67 kilometer ini selari dengan kemerdekaan yang dicapai negara kita 67 tahun.

“Jadi di sini saya ingin terapkan dalam kalangan warga bomba semangat cintakan negara, semangat cintakan kemerdekaan itu sendiri dinmana menjadi contoh kepada semua penjawat awam dan warga negara Malaysia ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat JBPM Terengganu di sini.

Hassan As’ari berkata, program dimulakan dengan penyerahan Jalur Gemilang serta nyanyian lagu patriotik serta laungan merdeka sebanyak tiga kali.

Katanya, konvoi turut disertai 67 buah kenderaan termasuk motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan utiliti pelbagai guna jabatan bomba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top