Paris: Pihak berkuasa Perancis mengesan sebelum menggagalkan 68 serangan siber yang berkaitan dengan Sukan Olimpik sejak minggu lalu, kata Perdana Menteri Gabriel Attal.
Dua daripada serangan itu ditujukan ke tapak Olimpik di Bercy dan La Villette di ibu kota Perancis pada hari Khamis lalu, katanya kepada pemberita.
“Kesemua 68 serangan siber ini, termasuk dua serangan siber yang menyasarkan tapak Olimpik, dikesan pada masanya dan digagalkan,” kata Attal.
Beliau tidak memberikan butiran mengenai jenis serangan yang lain.
Tahun ini, Agensi Keselamatan Sistem Maklumat Negara Perancis (ANSSI) melatih semua entiti yang terlibat dalam perlindungan daripada serangan siber dengan jangkaan bahawa cubaan sedemikian akan meningkat semasa Sukan Olimpik.
Sukan Olimpik berlangsung secara rasmi pada Jumaat lalu dengan kawalan keselamatan yang ketat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




