ahmad.suhael@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Seramai 681,426 individu sudah menerima dua dos lengkap imunisasi COVID-19 setakat semalam, yang merangkumi 2.8 peratus daripada 24.3 juta populasi berusia 18 tahun ke atas di negara ini.
Ia berdasarkan data terkini Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), yang dikongsikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di Twitter miliknya, hari ini.
Jumlah itu sebahagian daripada 1,786,459 dos vaksin COVID-19 yang sudah diagihkan sejak 24 Februari lalu, dengan jumlah penerima dos pertama seramai 1,105,033 orang.
Bilangan pengagihan vaksin itu dicapai dalam tempoh 75 hari sejak hari pertama vaksin itu diagihkan dengan kapasiti pemberian vaksin harian adalah lebih 32,000 dos setakat semalam.
Selain itu, data dikongsi Dr Adham turut menyaksikan jumlah individu mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera meningkat menghampiri 10 juta orang.
Setakat semalam, seramai 9,983,396 individu mendaftar sebagai penerima vaksin, merangkumi 41.2 peratus daripada keseluruhan penduduk berusia 18 tahun ke atas di negara ini, yang disasarkan menerima vaksin itu bagi mewujudkan perlindungan kelompok terhadap COVID-19.
Sementara itu, data JKJAV itu menunjukkan Selangor mendahului pemberian dos pertama vaksin dengan 147,901 dos, selain Sarawak (115,487), Kuala Lumpur (111,144), Perak (99,643), Johor (94,450), Sabah (90,277) dan Pahang (74,424).
Selain itu, Pulau Pinang (72,889), Kedah (69,468), Negeri Sembilan (52,388), Kelantan (52,376), Terengganu (46,380), Melaka (35,443), Perlis (19,315), Labuan (11,745) dan Putrajaya (11,703).
Selangor turut mendahului pemberian dos kedua dengan 93,634 dos, selain beberapa negeri lain, antaranya Kuala Lumpur (76,577), Sarawak (68,006), Johor (65,824), Perak (57,327) dan Sabah (54,743).
© New Straits Times Press (M) Bhd