PUTRAJAYA: Sejumlah 7,043 tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan pelbagai warganegara direkodkan hasil 1,855 operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hanya dalam tempoh kira-kira dua bulan tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 30,177 individu diperiksa dalam jumlah operasi berkenaan dengan kesalahan tertinggi direkodkan ialah berada di Malaysia tanpa pas atau dokumen perjalanan yang sah melibatkan 4,804 kes.
Katanya, kesalahan itu di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 melibatkan 4,804 kes.
“Sebanyak 1,250 kes pula direkodkan di bawah Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa, diikuti 806 kes direkodkan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lokman Effendi, daripada taburan warganegara asing yang ditahan itu, lapan negara mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu Indonesia, diikuti Myanmar, Bangladesh, Filipina, Thailand, Pakistan, India dan China.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara konsisten dan berfokus tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen.
“JIM menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen negara melalui pelaksanaan operasi yang lebih tegas, menyeluruh dan berfokus terhadap warga asing yang melanggar akta dan peraturan Imigresen,” katanya.
Pada masa sama, JIM menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang imigresen kepada pihak berkuasa bagi menyokong usaha penguatkuasaan yang lebih berkesan. – UTUSAN



