Melbourne: Polis Australia menembak mati seorang lelaki bersenjata yang dikehendaki kerana membunuh dua pegawai polis, sekali gus menamatkan pemburuan selama tujuh bulan terhadap seorang daripada penjenayah paling dikehendaki di negara itu.
Polis Victoria dalam kenyataan berkata, lelaki itu, Desmond Freeman ditembak mati di sebuah hartanah di timur laut Victoria pada pagi ini dalam operasi khas mengesannya.
Difahamkan, Freeman melarikan diri ke kawasan belukar tebal sejak Ogos tahun lalu selepas menembak mati dua pegawai polis di premis di luar bandar Victoria.
Sepanjang tujuh bulan lalu, ratusan anggota polis menjejaki Freeman di seluruh wilayah yang muka buminya agak mencabar itu, yang disifatkan pengerahan sumber terbesar pernah berlaku di Australia dalam memburu penjenayah.
Media tempatan menggambarkan Freeman sebagai penganut teori konspirasi dan anggota gerakan ‘sovereign citizen’ yang percaya mereka tidak tertakluk kepada undang-undang.
Dia dilaporkan mempunyai skil kemahiran hidup di hutan dan di luar yang tinggi, manakala polis mengkategorikannya sebagai berbahaya dan bersenjata.
Dalam pada itu, lebih 450 anggota polis ditugaskan untuk siasatan dan operasi pencarian itu.
Freeman, 56, yang dikenali sebagai ‘Dezi’, melepaskan tembakan ke arah polis ketika mereka menyerbu rumahnya di kampung kecil Porepunkah pada Ogos.
Dalam kejadian itu, dia membunuh detektif, Neal Thompson, 59, dan konstabel kanan, Vadim De Waart, 35.
Seorang lagi pegawai polis cedera di bahagian bawah badan.
Polis percaya, Freeman mungkin berjaya mengelak daripada ditangkap dengan bantuan penduduk tempatan yang bersimpati.
Menurut media sama, pihak berkuasa turut menawarkan ganjaran Aus$1 juta (kira-kira RM2.75 juta) bagi maklumat yang membantu membawa kepada tangkapan lelaki itu.
Larangan terhadap senjata automatik dan separa automatik berkuat kuasa di Australia sejak insiden tembakan beramai-ramai pada 1996 di Port Arthur, Tasmania, yang menyaksikan seorang penembak tunggal membunuh 35 orang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




