am@hmetro.com.my
Pendang: Polis hari ini menahan seorang lelaki, disyaki bermain mercun bola di kawasan kampung di Tobiar, di sini sehingga menyebabkan tujuh individu cedera.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada malam Jumaat lalu, namun pihaknya menerima maklumat pada 10 pagi hari ini.
“Bertindak atas maklumat, pasukan melakukan tangkapan terhadap lelaki itu di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.
“Soal siasat lanjut mendedahkan, pada 20 Mac lalu, suspek mengaku menyambut hari raya dengan bermain mercun bola bersama enam saudara yang lain.
“Ketika kejadian, mercun itu termasuk ke dalam plastik mercun bola menyebabkan letupan berlaku dan mencederakan individu lain yang berada berdekatan.
“Semua mangsa termasuk suspek cedera di muka dan badan serta dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pendang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, Rodzi berkata, seorang daripada mangsa terpaksa dirujuk di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut akibat kecederaan serius di mata.
Katanya, suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau menyeru orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sepanjang musim perayaan serta memantau aktiviti anak-anak supaya kejadian sama tidak berulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




