mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada lagi istilah ikut pintu belakang atau jalan pintas buat tujuh pemain yang digelar ‘Harimau Palsu’ untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas ini kecuali melalui proses naturalisasi penuh selama lima tahun di negara ini.
Keputusan itu susulan pengumuman Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mengesahkan dokumen digunakan bagi melayakkan mereka mewakili Malaysia sebelum ini adalah palsu.
Tujuh pemain terbabit ialah Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, keputusan CAS itu jelas menunjukkan tiada jalan mudah bagi mereka untuk kembali mewakili skuad kebangsaan menggunakan status warisan.
“Pemain-pemain ini tidak layak untuk mewakili Malaysia walaupun selesai menjalani penggantungan selama 12 bulan. Mereka kekal tiada darah Malaysia.
“Mereka hanya boleh mewakili Malaysia jika berada di sini selama lima tahun menerusi proses naturalisasi,” katanya.
Terdahulu, panel CAS yang terdiri daripada Lars Hilliger dari Denmark sebagai Presiden bersama José Luis Andrade dari Portugal dan Massimo Coccia dari Itali mendengar rayuan yang dikemukakan tujuh pemain itu serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pendengaran kes berkenaan berlangsung di Lausanne, Switzerland pada 26 Februari lalu sebelum keputusan diumumkan baru-baru ini.
CAS memutuskan hukuman penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kekal, namun ia hanya terhad kepada perlawanan rasmi dan tidak melibatkan semua aktiviti berkaitan bola sepak termasuk latihan.
Pada masa sama, CAS turut menolak rayuan bersama FAM sekali gus mengekalkan denda sebanyak RM1.7 juta kepada badan induk bola sepak negara itu.
Mengulas lanjut keputusan berkenaan, Nik Erman berkata, secara keseluruhannya, FAM dan tujuh pemain terbabit boleh dianggap tewas dalam rayuan itu.
“Rayuan ditolak kerana memang berlaku pemalsuan dokumen. Apa-apa hujahan untuk menyatakan bahawa tidak berlakunya pemalsuan adalah ditolak.
“Kenapa hukuman boleh diubah supaya penggantungan hanya untuk perlawanan rasmi? Kita hanya boleh tahu selepas keluar alasan penuh bagi keputusan itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




