7 lelaki positif dadah ditahan, 146 saman dikeluarkan dalam Op Perdagangan

7 lelaki positif dadah ditahan, 146 saman dikeluarkan dalam Op Perdagangan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seramai tujuh lelaki ditahan kerana positif dadah manakala lebih 100 saman trafik dikeluarkan dalam Op Perdagangan selama tiga hari yang dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan di lebuh raya, khususnya membabitkan kenderaan perdagangan.

Operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bersama beberapa agensi penguat kuasa lain itu tertumpu di tiga lokasi utama iaitu Plaza Tol Ipoh Selatan, Plaza Tol Sungai Dua dan Plaza Tol Ipoh Utara, bermula 15 hingga 17 Julai lalu.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu membabitkan penugasan empat pegawai penguat kuasa bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap kenderaan perdagangan yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk memandu melebihi had laju.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 146 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

“Selain itu, tujuh lelaki turut ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine, dan siasatan lanjut dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mengeluarkan 49 notis hadir periksa terhadap kenderaan yang didapati mengeluarkan bunyi bising dan asap hitam, manakala Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 41 pendatang tanpa izin (PATI) yang dikesan dalam operasi itu.

Katanya, operasi turut mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan fokus terhadap pemandu serta kenderaan perdagangan yang berisiko tinggi menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

“Operasi ini akan terus dilipatgandakan dan tindakan penguatkuasaan diperkasakan dalam usaha mengurangkan risiko nahas di lebuh raya membabitkan kenderaan perdagangan.

“Komitmen dan kerjasama semua pengguna jalan raya yang sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi meminimumkan kemalangan jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top