ahmad.suhael@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tujuh negeri dan beberapa negara luar menunjukkan minat untuk membeli vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) setakat ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, berkata Selangor membuat tempahan tertinggi berjumlah 2.5 juta dos, manakala enam negeri lagi yang turut menunjukkan minat adalah Pahang, Perak, Sarawak, Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, jumlah tempahan diterima daripada tujuh negeri berkenaan sekitar lima hingga enam juta dos, daripada keseluruhan 14 juta dos vaksin Sinovac yang ditawarkan kepada kerajaan negeri serta syarikat swasta yang berminat mulai bulan ini hingga September depan.
“Pharmaniaga mendapat kebenaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk membuat penghantaran awal ke Selangor.
“JKJAV mahu mempercepatkan vaksinasi di Selangor kerana kes tinggi di negeri itu, jadi kita sudah mulakan penghantaran.
“Bagi (penghantaran) ke negeri dan tempahan lain, ia seperti diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, iaitu bermula pada 1 Ogos,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.
Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan sebanyak 14 juta dos vaksin Sinovac akan dijual secara terus daripada Pharmaniaga Bhd kepada syarikat swasta dan kerajaan negeri yang berminat mulai bulan ini hingga September depan.
Zulkarnain berkata, 14 juta dos itu adalah lebihan bekalan vaksin dihasilkan Pharmaniaga antara Jun hingga September depan, selepas syarikat farmaseutikal itu meningkatkan penghasilan kepada empat juta dos vaksin sebulan, berbanding dua juta dos sebelum ini.
Katanya, jumlah itu lebihan daripada tempahan kerajaan berjumlah 12.4 juta dos yang berjaya diserahkan dalam tempoh dua bulan setengah, lebih awal dari tempoh tujuh bulan yang dijadualkan.
“Pharmaniaga akan terus menghasilkan vaksin Sinovac sebagai persediaan jika bekalan daripada pengeluar lain kepada kerajaan tidak sampai mengikut jadual, selain keperluan untuk suntikan dos ‘booster’,” katanya.
Berhubung sama ada syarikat atau hospital swasta perlu membeli daripada kerajaan negeri atau secara terus dengan Pharmaniaga, Zulkarnain berkata, beberapa kaedah ditawarkan, namun akan diperincikan selaras pengumuman garis panduan, syarat dan penetapan harga siling penjualan vaksin Sinovac oleh kerajaan, minggu depan.
“Secara umum, kerajaan negeri perlu menepati syarat ditetapkan JKJAV dan Kementerian Kesihatan, antaranya memiliki syarikat farmaseutikal dengan lesen A-Plus, mempunyai jumlah doktor dan jururawat terlatih mencukupi dan sebagainya.
“Contohnya, Pahang ada Pahang Medical Center dan syarikat swasta boleh juga membeli vaksin melaluinya, namun harga akan diumumkan minggu depan,” katanya.
Sementara itu, Zulkarnain berkata, Pharmaniaga sedang meletakkan syarikat itu sebagai antara pembekal vaksin Sinovac dunia selepas mendapat permintaan dari negara luar termasuk Indonesia, Thailand, Filipina dan Kemboja.
Katanya, permintaan negara luar itu berikutan bekalan vaksin dunia yang terhad, selain Malaysia antara enam negara selain Indonesia, Brazil, Turki dan Mesir yang memiliki fasiliti ‘fill and finish’ untuk vaksin Sinovac.
“Pharmaniaga sedang berbincang dengan Sinovac mengenai langkah seterusnya. Sinovac menerima tempahan daripada 77 negara dan kerjasama dua syarikat ini perlu supaya tiada pertindihan.
“Sinovac juga memaklumkan mereka tidak dapat penuhi permintaan semua negara itu dan mahukan pembabitan Pharmaniaga. Jadi, ini strategi kita.
“Sasaran Pharmaniaga untuk menjadi syarikat membekalkan vaksin Sinovac kepada Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd