7 pelajar terbunuh selepas bumbung, dinding sekolah roboh

7 pelajar terbunuh selepas bumbung, dinding sekolah roboh

Jaipur, India: Tujuh pelajar terbunuh, manakala 26 lagi cedera apabila sebahagian bumbung dan dinding sebuah sekolah kerajaan, roboh, di barat India, semalam.

Insiden menyayat hati itu berlaku ketika sesi pembelajaran sedang dijalankan di sekolah berkenaan di daerah Jhalawar, Rajasthan, kira-kira 322 kilometer di selatan ibu negeri Jaipur.

Menurut polis, kejadian berlaku pagi Jumaat ketika hujan lebat yang melanda kawasan terbabit sejak beberapa hari lalu, dipercayai menjadi antara punca struktur bangunan menjadi lemah.

“Seramai tujuh kanak-kanak kehilangan nyawa setakat ini, manakala 26 lagi cedera,” kata pegawai polis tempatan, Nand Kishore kepada AFP.

Ketika kejadian, seramai 60 pelajar, guru dan kakitangan berada dalam bangunan setingkat itu. Ramai mangsa yang cedera dikejarkan ke kemudahan perubatan oleh penduduk kampung.

Menurut media tempatan, mangsa yang maut berusia antara lapan hingga 11 tahun, manakala dua daripada mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Penduduk tempatan yang hanya dikenali sebagai Balkishan berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat sebahagian bangunan sekolah runtuh, menyebabkan suasana menjadi kelam-kabut.

“Saya lihat pelajar menjerit minta tolong. Kami bergegas ke lokasi dan mula mengalihkan kepingan konkrit serta batu bata serta untuk menyelamatkan mereka,” katanya kepada pemberita.

Rakaman televisyen menunjukkan jentolak dan jentera berat digunakan bagi membersihkan runtuhan bangunan dalam operasi menyelamat.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyifatkan kejadian itu sebagai amat menyedihkan dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kami berdoa supaya mangsa yang cedera segera pulih. Pihak berkuasa sedang memberikan bantuan sepenuhnya kepada semua yang terjejas,” katanya di media sosial.

Menteri Pendidikan Rajasthan, Madan Dilawar berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan segera untuk mengenal pasti punca sebenar tragedi itu dan memastikan rawatan diberi kepada semua mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top