am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, mengakui persaingan bagi merebut empat tempat Naib Presiden PKR pada pemilihan kali ini membuktikan demokrasi subur dalam parti itu.
Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR berkata, walaupun mengakui persaingan adalah sengit, beliau percaya ahli parti mampu membuat keputusan yang bijak bagi memilih pemimpin yang mampu membawa suara mereka ke depan.
“PKR adalah parti inklusif pelbagai kaum dan membawa suara demokrasi, sebab sesiapa pun boleh bertanding asalkan kita mempunyai hala tuju yang betul, selain mengukuhkan parti dan kepimpinan.
“Saingan memang kuat dan hebat kerana semua penyandang jawatan adalah orang lama parti.
“Namun, kita serahkan kepada akar umbi untuk membuat keputusan yang betul dan pilihan yang bijak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa Institut Koperasi Malaysia (IKMA) bersama media di sini, hari ini.
Ramanan adalah pemimpin PKR ketujuh yang mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden parti itu yang dijangka berlangsung Mei ini.
Sebelum ini, empat penyandang Naib Presiden ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, dan Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, turut mengumumkan akan merebut jawatan itu.
Pada masa sama, Ramanan berkata pemilihan kali ini adalah penting kerana ia diadakan ketika PKR adalah parti kerajaan.
Katanya, beliau juga mahu membawa suara akar umbi kepada kepimpinan, yang disifatkan penting sebagai persediaan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), apabila memutuskan untuk bertanding jawatan Naib Presiden kali ini.
Sementara itu, ketika berucap, Ramanan berkata peranan media adalah penting dalam menyebarkan berita yang sahih selain bertanggungjawab membentuk persepsi rakyat serta menjelaskan dasar kerajaan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, dalam era digital dan transformasi maklumat tanpa sempadan, media berperanan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berimbang kepada masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




