7 suspek kes merusuh di Mount Austin dituduh esok

7 suspek kes merusuh di Mount Austin dituduh esok

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Seramai tujuh suspek yang ditahan berhubung insiden merusuh dengan senjata dan mendatangkan kecederaan parah di sebuah restoran di Taman Mount Austin akan dituduh di Mahkamah Johor Bahru esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang negeri Johor pada hari ini.

Katanya hasil penelitian telah bersetuju untuk pertuduhan dibuat terhadap enam daripada suspek di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera parah.

“Enam suspek yang sama juga akan dituduh dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata dalam rusuhan, yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

“Dua daripada suspek itu turut berdepan tuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan menyebabkan kerugian, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun, atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Seorang lagi suspek akan berdepan tuduhan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah ke badan sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ab Rahaman menegaskan pihaknya akan bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan penjenayah, yang menggugat keselamatan serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Terdahulu, pada Isnin lalu dalam sidang media Ab Rahaman dilaporkan berkata pergaduhan bersenjata membabitkan sekumpulan 13 lelaki di Taman Mount Austin, di sini, pada 27 Disember lalu berpunca daripada ketidakpuasan hati berikut gagal menuntut RM100,000.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi, mangsa berusia 27 tahun menemani rakannya ke lokasi di hadapan sebuah restoran bagi sesi perbincangan.

Namun katanya perbincangan itu dipercayai berlaku perselisihan faham menyebabkan mangsa diserang manakala rakannya berjaya melarikan diri.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk di kepala dan masih menerima rawatan di sebuah hospital di bandar raya ini serta dalam keadaan stabil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top