7 warga Vietnam jadi operator judi dalam talian ditahan

7 warga Vietnam jadi operator judi dalam talian ditahan

bhnews@bh.com.my

SUBANG JAYA: Polis menyerbu dua unit kediaman sebuah apartmen di Persiaran Kemajuan, SS16 di sini yang dijadikan pusat panggilan judi dalam talian dan menahan tujuh warga Vietnam termasuk dua wanita, hari ini.

Dalam serbuan di dua unit kediaman, masing-masing di tingkat enam dan 11 pada jam 12 tengah hari hingga jam 3 petang itu, polis turut merampas tujuh komputer serta 23 telefon bimbit, modem dan router.

Kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun dan pemeriksaan mendapati kesemua mereka tiada dokumen perjalanan yang sah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor, berkata siasatan awal mendapati pusat panggilan sindiket ini menawarkan khidmat judi dalam talian kepada pelanggan di negara asal mereka.

“Khidmat judi yang ditawarkan akan dipromosikan menerusi Facebook dan aplikasi mesej, Zalo. Sindiket ini dikesan beroperasi sejak tiga bulan lalu.

“Kita percaya sindiket didalangi warga tempatan atau ada kaitan dengan sindiket tempatan. Siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, malam ini.

Amihizam berkata, kesemua warga Vietnam yang ditahan itu ditempatkan di dua kediaman terbabit dan berperanan sebagai operator dengan gaji antara RM1,800 hingga RM2,000.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang sebenar di sebalik kegiatan sindiket ini kerana ini kali pertama kita menumpaskan sindiket judi dalam talian yang memfokuskan pelanggan di Vietnam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(a), 4(1)(c) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Katanya lagi, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top