Kuantan: Sebanyak 70 rumah di kawasan Kampung Balok dan Taman Balok Baru di sini rosak akibat dilanda ribut dan hujan lebat, petang semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan Kapten (PA) Zaubidah Said berkata, kejadian berlaku antara 5 petang hingga 7 malam dengan kesemua rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung susulan angin kencang.
“Buat masa ini, tiada laporan membabitkan individu yang cedera dan pusat pemindahan juga tidak dibuka kerana penduduk terjejas masih memilih untuk tinggal di kediaman masing-masing,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.