70,122 talian guna untuk 'scam' ditamatkan – Teo

70,122 talian guna untuk 'scam' ditamatkan – Teo

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menamatkan 70,122 talian telefon yang dikesan telah disalah guna untuk menghantar mesej meragukan atau aktiviti penipuan sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata jumlah meningkat hampir 10 kali ganda berbanding 7,409 talian yang ditamatkan pada tahun 2024.

Katanya, langkah itu mencerminkan usaha berterusan MCMC dalam memperkukuh penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan kad SIM prabayar selain membanteras kegiatan scam dan meningkatkan literasi digital dalam kalangan masyarakat.

“Perkembangan teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin mudah diakses menyebabkan taktik penipuan turut berubah dengan pantas.

“Teknologi sentiasa berubah, jika dahulu penggunaan AI masih mempunyai banyak halangan, hari ini orang ramai boleh menghasilkan video, gambar atau suntingan menggunakan AI dengan sangat cepat dan mudah.

“Oleh itu program kesedaran awam mengenai keselamatan digital perlu dilaksanakan secara berterusan supaya masyarakat lebih celik tentang jenis scam yang digunakan,” katanya Kempen Internet Selamat @ Bazar Ramadan 2026 di Bazar Ramadan Temenggong di sini hari ini.

Teo berkata, MCMC turut mengemas kini garis panduan pembelian kad SIM prabayar bagi mengelakkan penyalahgunaan, khususnya dalam kalangan pelancong asing.

Menurutnya, sebelum ini pelancong boleh membeli sehingga lima kad SIM prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi, namun jumlah itu kini dihadkan kepada dua kad SIM prabayar sahaja bagi setiap telco.

“Selain itu, kad SIM prabayar yang didaftarkan oleh pelancong akan ditamatkan secara automatik selepas tiga bulan bagi memastikan ia tidak terus digunakan untuk tujuan penipuan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendaftaran kad SIM kini perlu menggunakan dokumen asal seperti kad pengenalan atau pasport, selain kaedah pengesahan identiti seperti biometrik atau MyDigital ID bagi mengelakkan penyalahgunaan melalui salinan fotostat.

Katanya, MCMC sebagai pengawal selia akan mengambil tindakan terhadap syarikat telekomunikasi atau pengedar yang gagal mematuhi garis panduan ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top