707 projek sakit, lewat dan terbengkalai babit 73,857 pembeli

707 projek sakit, lewat dan terbengkalai babit 73,857 pembeli

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 707 projek perumahan swasta dikategorikan sebagai sakit, terbengkalai dan lewat direkodkan sehingga 31 Oktober lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kesemua projek itu membabitkan 129,007 unit rumah yang dibeli 73,857 individu.

“Daripada jumlah itu, 212 projek perumahan swasta berstatus lewat membabitkan 35,238 unit rumah dengan 25,081 pembeli.

“Bagi projek berstatus sakit pula, sebanyak 382 projek direkodkan membabitkan 63,267 unit rumah dan 32,721 pembeli.

“Selain itu, 113 projek lagi berstatus terbengkalai merangkumi 30,502 unit rumah dan 16,055 pembeli,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Nga menjawab pertanyaan Sivakumar Varatharaju (PH-Batu Gajah) mengenai intervensi konstruktif KPKT dalam membantu pembeli dan projek perumahan bermasalah termasuk projek terbengkalai dan lewat penyerahan bagi menjamin hak serta kesejahteraan pembeli.

Mengulas lanjut, Nga berkata, KPKT sentiasa berusaha untuk memelihara dan melindungi hak pembeli dengan memastikan pengurusan projek perumahan dilaksanakan dengan baik supaya projek tidak tergolong dalam kategori sakit atau terbengkalai.

“Penyelesaian tuntas bagi isu ini adalah melalui penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).

“Sejak diinstitusikan pada Disember 2022 sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 862 projek perumahan swasta membabitkan 102,808 unit rumah diselesaikan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM85.82 bilion.

“Justeru, semua projek berstatus lewat, sakit dan dalam kategori terbengkalai sedang dalam pemantauan TFST,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top