am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seramai 7,330 pengunjung tidak melepaskan peluang merasai sendiri pengalaman baharu bagi menikmati keindahan zoo di waktu malam pada hari pertama pembukaan Night Zoo Johor, malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihaknya sudah menjangkakan kehadiran pengunjung melebihi 5,000 orang pada hari pertama pembukaan Night Zoo Johor itu.
Menurutnya, tarikan baharu di zoo berkenaan apabila membawa masuk 35 spesies tambahan membabitkan 100 ekor haiwan.
“Kita jangkakan kehadiran hari ini (malam tadi) melebihi 5,000 orang. Tiga jam pertama sahaja sudah merekodkan kehadiran pengunjung lebih 3,000. Kita juga masih mengekalkan harga tiket paling murah dalam Malaysia.
“Setakat ini, kita ada lebih 35 spesies tambahan membabitkan penambahan 100 ekor haiwan menjadikan jumlah keseluruhan ada 93 spesis dengan 507 haiwan di Zoo Johor ini,” katanya ketika ditemui di Night Zoo Johor, di sini, malam tadi.
Night Zoo Johor yang menjadi tarikan baharu buat rakyat Johor dan pelancong dalam dan luar negara akan beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad bermula 8 malam hingga 11 malam, dengan kemasukan terakhir pada 10 malam.
Harga tiket Night Zoo Johor adalah RM10 bagi dewasa, RM5 bagi kanak-kanak lima tahun ke atas dan warga emas 60 tahun ke atas, manakala bagi pelancong asing, harga tiket adalah sebanyak RM30 dan kemasukan percuma bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah serta pemegang kad orang kurang upaya (OKU).
Mengulas lanjut mengenai Zoo Johor, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri sudah membelanjakan kira-kira RM9 juta bagi fasa pertama naik taraf zoo, manakala kira-kira RM7 juta bagi fasa kedua ditambah sumbangan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.4 juta bagi kawasan rumah reptilia yang baharu.
“Bagi fasa kedua, kita turut menaik taraf laluan pejalan kaki yang lebih mesra OKU.
“Kita akan teruskan dengan fasa ketiga yang akan lebih kepada pembinaan klinik haiwan sebagai tambahan tempat kuarantin dan juga naik taraf pejabat serta tempat pekerja yang mana peruntukan bagi fasa ketiga sudah diluluskan iaitu kira-kira RM2 juta,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Muhammad Shah Fikri Sukarto, 24, sanggup datang bersama keluarga dari Kota Tinggi bagi menjadi antara rakyat Johor yang terawal menjejakkan kaki ke Night Zoo Johor.
Dia yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, kini keluarganya tidak lagi perlu ke Melaka atau negeri lain bagi merasai pengalaman zoo pada waktu malam.
“Saya memang datang semata-mata nak ke Night Zoo Johor ini dan memang rasa ‘vibe’ itu lain dari yang lain.
“Saya pernah datang sekali ke Zoo Johor dan jika zoo malam, saya pernah ke Melaka,” katanya.
Bagi seorang lagi pengunjung, Sylvia Thian Many Sia, 48, dari Taman Desa Jaya berkata, ia adalah kali pertama dia hadir ke Zoo Johor selepas dibuka semula pada 2024.
Menurutnya, keadaan Zoo Johor sangat bersih dan cantik, ditambah lagi suasana Night Zoo Johor memberi pengalaman yang menyeronokkan.
“Sudah lama tak datang Zoo Johor, bila datang kali ini ditambah pula pada waktu malam, memang rasa sangat menarik. Lihat haiwan pada waktu malam juga menyeronokkan kerana baharu saya tahu banyak haiwan yang sebenarnya lebih aktif pada waktu malam.
“Mungkin jika mahu lebih menarik, boleh tambah lebih banyak haiwan. Saya pasti akan datang lagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




