mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 74 vesel nelayan asing (VNA) yang menceroboh perairan negara bagi tempoh tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli berkata, APMM sentiasa bersiap siaga menjaga perairan negara daripada segala ancaman jenayah di laut.
Menurutnya, perkara ini dibuktikan dari Januari hingga Oktober 2024, APMM berjaya menahan 74 VNA yang menceroboh perairan negara.
“Dari jumlah itu, nelayan Vietnam mencatatkan tangkapan tertinggi dengan 46 kes, diikuti oleh 15 kes nelayan Indonesia, 12 kes nelayan Thailand, dan satu kes nelayan China.
“Selain mengawal pencerobohan nelayan asing, APMM juga berjaya membanteras kegiatan penyeludupan di perairan negara dengan 151 kes direkodkan setakat Oktober lalu.
“Kes penyeludupan tertinggi adalah melibatkan kes penyeludupan petrol (46 kes), penyeludupan barangan kawalan (30 kes), diikuti, diesel (15 kes) dan tong gas LPG (11 kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menggesa seluruh rakyat Malaysia bekerjasama dengan pihak APMM dengan menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak agensi ini sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara.
“Keselamatan di laut adalah tanggungjawab bersama. Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan operasi pengawasan serta memperhebatkan usaha memerangi sebarang kegiatan yang boleh mengancam keselamatan perairan negara,” katanya.
Terdahulu beliau bersama pegawai kanan APMM serta lebih 80 pengamal media tempatan menjalani Ujian Kemahiran Menembak Senjata Api
Kecil di Lapang Sasar Shapadu, di sini, sempena Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




