am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Sebanyak 75 peratus kelewatan projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dikenal pasti berpunca daripada kontraktor.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pengurusan projek yang lemah dan perancangan kewangan yang tidak teratur adalah dua punca utama kelewatan yang membabitkan kontraktor.
Katanya, ia sekali gus menyumbang kepada majoriti projek sakit di bawah kementerian berkenaan.
“Sebanyak 75 peratus sebab kelewatan projek (di bawah KKR) adalah sebab kontraktor, yang selebihnya itu pengambilan balik tanah dan utiliti.
“Kita tidak banyak sangat projek sakit ada sekitar lima peratus daripada banyak projek yang kita buat. Tetapi lima peratus itu kita tidak mahu kalau boleh.
“Terdapat dua sebab membabitkan kelewatan kontraktor iaitu pertama kerana kelemahan pengurusan projek, dan kedua kerana kelemahan pengurusan kewangan,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan surat setuju terima bagi dua projek Persekutuan di Johor, sempena Hari Profesional Teknikal Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.
Menurut Ahmad, ramai kontraktor salah mengurus kewangan mereka, termasuk beranggapan bahawa bayaran pendahuluan pertama adalah keuntungan.
Katanya menyarankan agar kontraktor menilai keuntungan mereka selepas selesai projek yang dijalankan.
“Sebagai contoh kesilapan pengurusan kewangan. Jangan kontraktor mengambil keuntungan apabila dapat bayaran pertama, yang dianggap keuntungan itu tidak betul. Kaedahnya selepas siap projek baru dapat untung. Bukan bayaran pertama itu dikira untung.
“Saya harap dua perkara ini dapat diatasi kontraktor yang mendapat projek dari KKR. Atasi dua ini.
“Dari segi pengurusan projek antara komponen bahan binaan, hendaklah pada harga berpatutan dan mencukupi sama ada bahan atau sumber manusia iaitu pekerja. Tempoh masa juga perlu diteliti dan dihabiskan kerja mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya.
Mengenai aspek penguat kuasaan, Ahmad berkata, amaran berulang akan diberikan sebelum tindakan penamatan dipertimbangkan.
“Kita hantar surat amaran sekali atau dua kali, malah sehingga tiga kali. Pegawai kita juga menasihati kontraktor dalam mesyuarat tapak mingguan dan bulanan.
“Bagaimanapun, jika kontraktor masih gagal mematuhi jadual menyiapkan projek, kementerian akan menamatkan kontrak.
“Apabila ditamatkan, mereka akan disenaraihitamkan daripada memperoleh projek kerajaan selama dua tahun. Mereka juga boleh dikenakan ganti rugi lewat siap, termasuk perbezaan kos jika tender baharu diperlukan.
“Ia membawa banyak komplikasi kepada mereka. Sebab itu kementerian sentiasa mengingatkan supaya projek disiapkan mengikut jadual atau lebih baik lagi disiapkan lebih awal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




