
Antara dron yang ditembak tentera Pakistan. – Foto Agensi
ISLAMABAD – Tentera Pakistan mendakwa telah menembak jatuh 77 dron India dalam tempoh dua hari, lapor agensi berita AFP pada Jumaat.
Menurut laporan televisyen negara Pakistan, PTV News, pada Khamis Pakistan telah menembak jatuh 29 dron India, sementara 48 lagi telah dimusnahkan pada waktu malam yang sama. Sumber tentera Pakistan turut mengesahkan angka tersebut kepada AFP.
Sementara itu, susulan peningkatan serangan menggunakan dron, pihak pentadbiran daerah Abbottabad di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan telah menguatkuasakan larangan terhadap penggunaan semua jenis dron selama dua bulan.
Langkah ini diambil sebagai usaha pencegahan untuk mengelakkan pengawasan udara yang boleh memberi manfaat kepada elemen-elemen anti-negara atau pihak yang tidak bertanggungjawab, terutama dalam tempoh yang sensitif ini.
Larangan tersebut dikuatkuasakan di bawah Seksyen 144 Kanun Prosedur Jenayah. Orang ramai juga diminta untuk melaporkan sebarang aktiviti dron yang mencurigakan kepada balai polis terdekat. -Agensi