778,500 hilang MyKad kerana cuai

778,500 hilang MyKad kerana cuai

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 778,500 kes kehilangan MyKad disebabkan kecuaian antara 2022 hingga 2024.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 3,422,022 kes adalah kerosakan MyKad manakala 138 kes membabitkan pemalsuan dokumen.

“Kerajaan memandang serius isu pemalsuan MyKad kerana ia membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara serta boleh menjejaskan sistem pengurusan identiti warganegara.

“JPN sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras aktiviti pemalsuan dokumen pengenalan ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai kes kehilangan, kecurian, kerosakan dan pemalsuan MyKad.

Selain itu, Wan Razali turut bertanyakan hasrat kerajaan untuk meminda dan meningkatkan kadar hukuman bagi mereka yang terlibat dalam pemalsuan MyKad.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pada masa ini, Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu.

Menurutnya, bagi meningkatkan kadar hukuman, kerajaan sedang memuktamadkan Pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) yang dijadual dibentangkan dalam sesi Parlimen pada kali ini.

“Pindaan akta itu antara lain membabitkan pewujudan peruntukan bagi kesalahan yang boleh dikompaun.

“Kesalahan boleh dikompaun akan diperinci dan dipinda di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 setelah pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 diluluskan kelak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top