suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 7,862 orang papa atau gelandangan direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh 2021 hingga Mei 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan tindakan menangani orang papa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilaksanakan secara ‘ad hoc’ berdasarkan aduan serta melalui operasi berjadual atau berkala bersama agensi penguat kuasa lain.
Menurutnya, daripada jumlah itu, Wilayah Persekutuan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,742 orang, diikuti Pulau Pinang (1,288) dan Johor (1,199).
Sementara itu, di Kuala Lumpur, operasi bersepadu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati jumlah gelandangan dikesan dalam satu-satu operasi boleh mencecah sekitar 400 orang khususnya di kawasan tumpuan pusat bandar.
DBKL turut merekodkan seramai 4,886 gelandangan menerima manfaat melalui pusat transit yang disediakan di ibu kota melibatkan kemudahan perlindungan sementara, makanan, saringan kesihatan serta bantuan intervensi sosial.
Selain itu, JKM merekodkan seramai 4,311 orang papa bukan warganegara diambil tindakan sepanjang tempoh 2023 hingga November 2025 menerusi pelaksanaan Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183).
Menurut jurucakap JKM, pihaknya melaksanakan tiga bentuk tindakan pengambilan orang papa antaranya pengambilan secara ‘ad hoc’ berdasarkan aduan.
Katanya, bagi kes orang papa bukan warganegara, ia diserahkan kepada Jabatan Imigresen.
Sentiasa ada muka baharu
Kuala Lumpur: Isu gelandangan di ibu negara bukan sekadar soal kemiskinan, sebaliknya membabitkan pelbagai latar belakang apabila ada yang memilih hidup di jalanan dan ada juga yang terpaksa.
Mendedahkan perkata itu, aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohd Azhan Mohd Adnan, 57, atau mesra disapa Abbe Hae berkata, golongan itu datang dari pelbagai latar belakang dan juga negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sentiasa wujud ‘muka baharu’ dalam kalangan gelandangan di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya, gelandangan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk mereka yang masih bekerja, namun hidup di jalanan.
“Kebanyakannya bukan orang Kuala Lumpur, sebaliknya dari negeri lain seperti Johor, Kelantan, Sarawak dan Sabah. Malah, sentiasa ada muka baharu.
“Bagaimanapun ada antara mereka masih bekerja seperti menjaga parkir (ulat parkir) selain melakukan kerja sambilan mengangkat atau memindahkan barang dengan upah sekitar RM100 atau RM120 sehari jika bekerja sehingga 12 jam.
“Terdapat juga kelompok yang membelanjakan wang untuk minuman keras sehingga RM70 hingga RM80 sehari, ia bukan jumlah yang sedikit,” katanya.
Namun, Abbe Hae berkata, tidak semua gelandangan berada dalam keadaan sama apabila ada yang masih bekerja untuk sara hidup, cuma tidak mempunyai tempat tinggal tetap.
Menurutnya, terdapat juga golongan yang terjebak dengan penyalahgunaan bahan terlarang.
Selain itu, katanya, terdapat gelandangan warga emas yang sudah tidak mampu bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang ramai.
“Ada dalam kalangan mereka datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan, namun gagal sebelum akhirnya terus hidup di jalanan,” katanya.
Dalam masa sama, Abbe Hae berkata, ada antara mereka yang memilih menjadi gelandangan bagi menjimatkan kos sara hidup dan menghantar wang kepada keluarga di kampung.
“Bagi mereka, daripada membayar sewa bilik sekitar RM600, lebih baik tidur di kaki lima atau masjid, boleh juga mandi di masjid dan lebih selesa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




