7R Orbit Park produk pelancongan baharu di Langkawi

7R Orbit Park produk pelancongan baharu di Langkawi

am@hmetro.com.my

Langkawi: Pulau ini bakal memiliki sebuah lagi tarikan pelancongan baharu sebaik projek taman lestari di kawasan hutan paya bakau dinamakan 7R Orbit Park direalisasikan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Berkonsepkan interaktif langsung, taman yang menggabungkan pendidikan, pemuliharaan alam sekitar dan inovasi dalam pengurusan alam sekitar bakal dibangunkan di kawasan seluas enam hektar di Kuala Sungai Melaka, di sini.

7R Orbit Park dibangunkan Kelab Lestari Hijau (KLH) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi KLH, Norhazlina Zainuddin, berkata projek pembangunan taman lestari dipercayai yang pertama di negara ini dilihat tepat pada masanya untuk merancakkan semula ekonomi di pulau bebas cukai itu.

“Projek fasa pertama bermula dengan pembinaan arca kitar semula, pelayaran sungai dan pasaran pertukaran sisa terbuang, diikuti fasa kedua pembinaan ‘magpie market’, hab orbit digital dan ‘green gas market’.

“Fasa ketiga kita akan bangunkan pasar terapung, kapal karam dan taman kembara eko,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengenalan 7R Orbit Park di Kompleks Lada, di sini, hari ini.

Norhazlina berkata, sebaik siap kelak taman lestari itu bakal memiliki 75 arca daripada bahan terbuang termasuk tiga daripadanya mempunyai ketinggian mencecah antara 1.5 dan 2.4 meter.

“Sepanjang laluan jelajah hutan bakau itu juga kami akan menyediakan tujuh kiosk yang beridentiti warisan Melayu termasuk rumah Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan beberapa rumah warisan negeri lain.

“Konsep Pasar Terapung yang dibangunkan di sini juga mempunyai konsep tersendiri dengan disertakan elemen taman tema, aktiviti lasak seperti’flying fox’ dan belon panas statik sebagai tarikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top