PUTRAJAYA: Sebanyak 23.6 juta suntikan dos vaksinasi telah diberikan di Malaysia sejak pelancaran rasmi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari hingga 6 Ogos lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah itu, seramai 15.35 juta (65.6 peratus) individu dewasa menerima dos pertama vaksin dan 8.25 juta (35.3 peratus) lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Beliau berkata, sejak 12 Julai lalu, kadar vaksinasi harian mencecah lebih 400,000 dos hampir setiap hari dan buat pertama kalinya melepasi paras 500,000 dos pada 22 Julai.
Beliau menjelaskan, walaupun pada awalnya ramai yang meragui kemampuan kerajaan meningkatkan kadar vaksinasi, namun berkat usaha semua berjaya membuktikan kemampuan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan awal termasuk menstabilkan bekalan vaksin dari syarikat pengeluar.
“Semalam, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin mengumumkan sasaran kerajaan pada hujung bulan ini ataupun sasaran Hari Kebangsaan 2021 ialah mencapai 50 peratus kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa di Malaysia.
“Pencapaian Malaysia dalam usaha memberi vaksinasi di negara ini turut mendapat pujian dan pengiktirafan negara-negara luar dan badan-badan antarabangsa,” katanya dalam perutusan khas hari ini. – UTUSAN ONLINE




