8 pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan

8 pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan

am@hmetro.com.my

Melaka: Lapan individu termasuk seorang pesara kerajaan disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan dalam operasi bersepadu khas, hari ini.

Turut ditahan tiga pasangan suami isteri serta dua lelaki yang berusia antara 28 hingga 72 tahun.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, operasi bersama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertumpu di empat rumah sekitar Jasin, yang membabitkan 70 pegawai dan anggota.

Katanya, operasi yang bermula pada 12 tengah malam dan berakhir kira-kira 4 pagi itu, susulan aduan awam mengenai penyebaran dan amalan ajaran Millah Abraham yang masih dilakukan walaupun ia sudah diwartakan bertentangan ajaran Islam.

“Susulan itu lima lelaki dan tiga wanita berumur antara 28 dan 72 tahun ditahan dalam empat serbuan berasingan yang dilaksana serentak. Mereka ini pesara kerajaan, pekerja swasta, bekerja sendiri dan suri rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dalam penggeledahan yang dijalankan di kediaman suspek, beberapa barang disita dan dirampas, antaranya buku berkaitan ajaran Millah Abraham, komputer riba dan telefon bimbit.

Katanya, menerusi soal siasat ke atas OYDS, ada antara mereka mengaku sudah beberapa tahun tidak pernah menunaikan solat fardu termasuk solat Jumaat, selain mendedahkan pengajian mengenai ajaran sesat dilakukan secara dalam talian menerusi beberapa aplikasi tertentu.

Selain itu, mereka juga aktif merekrut ahli baharu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan.

“Sehubungan itu, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 dan Seksyen 60 enakmen yang sama iaitu kesalahan ajaran salah dan Seksyen 48 iaitu kesalahan penerbitan agama yang berlawanan dengan hukum syarak,” katanya.

Rahmad mengingatkan semua masyarakat Islam khususnya di Melaka supaya menjauhi mana-mana fahaman atau ajaran yang difatwakan serta diwartakan sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam, sebaliknya mematuhi ajaran Islam sebenar berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal al-Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top