8 sekolah Islam persendirian kendalian GISBH di Selangor sudah diarah tutup

8 sekolah Islam persendirian kendalian GISBH di Selangor sudah diarah tutup

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lapan sekolah Islam persendirian kendalian Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) diarah tutup bermula kelmarin selepas siasatan mendapati ia menyalahi peruntukan Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (EPSAI 1988).

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, hanya lapan premis yang digunakan oleh GISBH atau rangkaiannya didaftarkan sebagai sekolah Islam persendirian mengikut EPSAI 1988 di Selangor.

“Jais sudah melaksanakan pemeriksaan dan siasatan ke atas semua sekolah Islam persendirian yang terbabit dan didapati sekolah itu bertindak menyalahi peruntukan EPSAI 1988.

“Justeru, arahan penutupan semua sekolah Islam terbabit dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menurut Seksyen 25 EPSAI 1988 kelmarin. Tindakan pembatalan pendaftaran sekolah Islam yang masih lagi berkuat kuasa juga akan dilaksanakan tertakluk kepada EPSAI 1988,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lapan sekolah kendalian GISBH yang diarah tutup itu ialah Maahad Tahfiz Wal Ulum Al Ghazaly, Sepang; Sekolah Rendah Islam Miftahul Hikmah, Klang; Sekolah Menengah Islam Global Ikhwan (Banat), Rawang; Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 2, Puchong; Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 1, Shah Alam; Sekolah Rendah Islam Yaqutul Fuad, Rawang; Sekolah Rendah Islam Integrasi Bustanul Ikhwani, Rawang dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain, Sepang.

Dalam pada itu, Abdul Aziz menjelaskan, pihaknya sudah membincangkan mengenai tindakan yang diambil dan akan dilaksanakan oleh Mais dan agensi hal ehwal Islam di Selangor berhubung perkara ini dalam mesyuarat semalam.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa agama juga sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap individu yang dikenal pasti terbabit dengan GISBH dan rangkaiannya mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebelum diserahkan kepada Ketua Pendakwa Syarie.

“Mais akan turut membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam proses pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang kini ditempatkan di rumah kawalan JKM.

“Mais juga membuat keputusan mengambil alih pengurusan Masjid Cahaya Iman dan menutup Musolla Ikhwan di Kompleks GISBH yang kedua-duanya terletak di Bandar Country Homes, Rawang sementara siasatan berhubung dengan kesalahan jenayah termasuk jenayah syariah terhadap GISBH dan rangkaiannya selesai dilaksanakan,” katanya.

Katanya, satu jawatankuasa khas juga ditubuhkan Mais bersama Jais, Jabatan Mufti Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top