80 hingga 100 kes baharu kanser kanak-kanak di Sabah

80 hingga 100 kes baharu kanser kanak-kanak di Sabah

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sabah mencatatkan sekitar 80 hingga 100 kes baharu kanser kanak-kanak setiap tahun, dengan hampir separuh daripadanya membabitkan kanak-kanak dari luar daerah Kota Kinabalu yang menghadapi cabaran tambahan untuk mendapatkan rawatan berpanjangan.

Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, sebahagian kanak-kanak, terutamanya yang didiagnosis dengan leukemia akut, memerlukan tempoh rawatan sehingga lapan bulan yang berpusat di Kota Kinabalu.

Keluarga dari daerah pedalaman seperti Pitas, Kota Marudu dan Kudat sering kali terpaksa mencari tempat tinggal, menampung kos pengangkutan serta perbelanjaan harian, selain terpaksa meninggalkan pekerjaan dan ahli keluarga yang lain sepanjang anak mereka menjalani rawatan.

Beliau menyatakan bahawa Sabah amat memerlukan sebuah rumah persinggahan khas atau kemudahan penginapan sementara berhampiran hospital bagi menyokong kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser serta penjaga mereka.

“Keluarga-keluarga ini memerlukan tempat tinggal yang selamat, bersih dan berpatutan berhampiran hospital sepanjang fasa rawatan jangka panjang anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan sempena Bulan Kesedaran Kanser Pediatrik hari ini.

Dr Brandon menambah bahawa kemudahan tersebut dapat mengurangkan perjalanan yang tidak perlu, meringankan beban kewangan keluarga, serta memastikan kanak-kanak dapat meneruskan dan menyelesaikan rawatan mereka tanpa isu penginapan menjadi satu lagi halangan.

Dr Brandon menegaskan bahawa kerajaan negeri Sabah sewajarnya menerajui usaha dalam menangani keperluan ini, memandangkan kebanyakan keluarga yang terkesan berasal dari kawasan luar bandar dan kurang mendapat perkhidmatan sewajarnya.

Beliau mencadangkan kerajaan menyediakan atau mengubah suai hartanah sedia ada milik kerajaan berhampiran hospital, atau bekerjasama dengan pertubuhan kebajikan, sektor swasta serta rakan kongsi lain untuk membina kemudahan ini.

Sementara itu, Sabah MMA turut menyerahkan 20 set kit penjagaan untuk pesakit onkologi pediatrik yang baharu didiagnosis kepada Unit Onkologi Pediatrik hospital berkenaan di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top