80 peratus kes tidak pakai jaket keselamatan punca hilang nyawa di laut

80 peratus kes tidak pakai jaket keselamatan punca hilang nyawa di laut

am@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Sebanyak 80 peratus kes kehilangan nyawa ketika menjalankan aktiviti di laut sepanjang tahun lalu berpunca daripada kegagalan memakai jaket keselamatan.

Pengarah Bahagian Operasi Udara Laksamana Pertama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM) Mohd Tahir Khalid berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 226 kes insiden di laut direkodkan membabitkan 1,348 mangsa, yang mana 1,259 berjaya diselamatkan, 64 meninggal dunia, dan 25 masih hilang.

Menurutnya, bagi tahun ini sehingga 31 Mei lalu, sudah terdapat 108 kes membabitkan 251 mangsa, dengan 203 berjaya diselamatkan, 36 meninggal dunia, dan 12 masih hilang.

“Selalunya yang berlaku kecemasan atau kemalangan ini kebanyakan mereka tidak pakai jaket keselamatan.

“Kalau mereka ada jaket keselamatan, sekurang-kurangnya mereka boleh terapung di laut sementara menunggu bantuan tiba.

“Antara alasan (mereka) tidak mahu pakai peralatan kecemasan ini kerana tidak selesa, tetapi kita selalu sarankan mereka perlu pakai, terdapat pelbagai peralatan keselamatan diri bersaiz kecil dan mudah dibawa serta dipakai,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) 2025 di Persiaran Kapal Bugis, Tanjung Harapan di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

Mohd Tahir berkata, angka yang dicatatkan itu memberi gambaran yang membimbangkan dan jika trend ini berterusan, kita berdepan dengan kemungkinan peningkatan dua kali ganda.

“Terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran keselamatan secara menyeluruh, bukan sahaja kepada komuniti maritim tetapi masyarakat umum yang berisiko ketika berada di laut.

Pada 7 Jun lalu, polis mengesahkan enam warga tempatan yang terbabit dalam tragedi bot terbalik pada jarak kira-kira 0.3 batu nautika barat Tanjung Harapan Pelabuhan Klang, petang 6 Jun tidak memakai jaket keselamatan.

Mereka yang terkorban adalah pasangan suami isteri, Gan Hon Tat, 32, dan isteri, Careen Man, 29,anak lelaki mereka, Darren Gan, 3; pemilik bot, Cheu Son Hin, 50; dan Fong Yong Sen, 29. Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Chang Yan Qin Alvin, 17, terselamat.

Mengulas mengenai program hari ini katanya, HKKM yang bertemakan ‘Berapung Untuk Hidup’ adalah inisiatif strategik untuk menyemai kefahaman dan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang pentingnya aspek keselamatan semasa berada di laut, sama ada mencari rezeki atau menjalankan aktiviti rekreasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top