8,011 kes phone scam, rugi lebih RM440.9 juta

8,011 kes phone scam, rugi lebih RM440.9 juta

am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 8,011 kes phone scam disiasat polis membabitkan kerugian RM440,971,870.50 dalam tempoh tiga tahun bermula 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu, 448 kes membabitkan penyamaran sebagai pegawai Pos Laju dengan nilai kerugiannya mencecah RM27,186,773.82.

Menurutnya, bagi tahun ini, sejumlah 1,411 kes (rugi RM64,468,952.59) phone scam disiasat setakat Julai, termasuk 87 kes yang menyamar pegawai Pos Laju (rugi RM2,999,714.42).

“Angka ini mesej jelas bahawa phone scam adalah penipuan yang perlu diberikan perhatian serius.

“Justeru, penting untuk kita memanfaatkan teknologi bagi melindungi rakyat di dalam persekitaran siber yang sentiasa berevolusi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pos Malaysia dan Whoscall di Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Daya Bumi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo dan Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman.

Ramli berkata, pihak PDRM sentiasa bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam melindungi rakyat Malaysia daripada sebarang jenis penipuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top