80km dikejar polis, akhirnya terbabas di hadapan balai

80km dikejar polis, akhirnya terbabas di hadapan balai

am@hmetro.com.my

Raub: Cubaan dua lelaki tempatan ‘menyeludup’ tiga wanita warga Indonesia tanpa dokumen sah gagal apabila kereta dinaiki mereka terbabas di hadapan Balai Polis Dong, di sini, semalam, selepas dikejar sejauh lebih 80 kilometer dari Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu berlaku selepas anggota Unit Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang mengesan kereta Proton Preve dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tanah Putih, Gua Musang.

Menurutnya, pemandu kenderaan berkenaan enggan berhenti apabila diarahkan, sebaliknya memecut laju secara berbahaya menuju ke arah Raub sebelum hilang kawalan dan terbabas di hadapan Balai Polis Dong.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga wanita warga Indonesia tanpa dokumen sah berada di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shahril berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui 34 biji pil disyaki dadah jenis yaba (WY) serta satu peket disyaki syabu di dalam kereta itu.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu palsu dan dua lelaki tempatan terbabit dipercayai berperanan sebagai pengangkut (transporter) migran dengan menerima bayaran bagi membawa warga asing dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dua suspek utama turut ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti seumpama itu kepada Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-355 2222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top