818 kontena e-waste masih tersadai, SPRM perkukuh tindakan penguatkuasaan

818 kontena e-waste masih tersadai, SPRM perkukuh tindakan penguatkuasaan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Putrajaya: Tindakan segera dan koordinasi bersepadu antara agensi penguat kuasa menjadi kunci bagi membanteras lambakan sisa elektronik (e-waste) dan plastik di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, agensi penguat kuasa terbabit digesa bertindak segera dan meningkatkan operasi bagi membanteras pengimportan haram e-waste.

Menurutnya, agensi terbabit perlu bertindak pantas apabila menerima maklumat kegiatan haram pengimportan e-waste dan mempertingkatkan kekerapan operasi.

“Setelah penelitian data dan statistik terkini yang diperoleh, kita akan mengesyorkan beberapa langkah komprehensif dalam aspek dasar, penguatkuasaan dan kerjasama antarabangsa bagi menangani krisis ini secara holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 3/2026 di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi; Komander Wildlife Crime Bureau (WCB) PDRM, Datuk Mohd Zaki Ashar; Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan dan Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM, Sudirman Aban.

Hadir sama wakil daripada pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mengulas lanjut, Azam berkata, setiap agensi terbabit perlu melantik pegawai bertanggungjawab dan memastikan mereka berada di lokasi operasi sepanjang tindakan penguatkuasaan dijalankan.

Beliau turut menggesa AKPS dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggunakan sepenuhnya fasiliti serta peralatan sedia ada bagi memaksimumkan keberkesanan teknologi.

“Agensi terbabit perlu bersiap sedia kerana pemeriksaan mengejut akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan turun padang dalam masa terdekat di lokasi-lokasi kritikal bagi menentukan keberkesanan tindakan penguatkuasaan sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal memaklumkan sebanyak 818 kontena e-waste masih tersadai di pelabuhan itu sejak 2024 dan pendekatan baharu perlu diguna pakai untuk menangani masalah ini.

Katanya, kesemua dasar dan perundangan berkaitan penyelarasan dan pengurusan sisa e-waste harus diseragamkan dan diperkukuhkan.

“Sisa e-waste harus dimasukkan di bawah ‘Larangan Mutlak di dalam Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) Tahun 2023.

“Selain itu, disyorkan agar perwakilan kuasa diberikan kepada PDRM untuk Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi penyiasatan kes pengimportan dan pemprosesan e-waste secara haram,” katanya.

Nik Ezanee menegaskan penguatkuasaan dan kawalan perlu dipertingkatkan di semua pelabuhan, dengan semua agensi bekerjasama bagi mengukuhkan mekanisme kawalan di sempadan.

“Kita tidak boleh menggunakan cara kerja biasa bagi menyelesaikan isu ini. Sebaliknya, cara kerja yang menggunakan pendekatan di luar kebiasaan akan dipraktikkan dalam menangani masalah ini,” katanya.

Untuk rekod, pada 8 Disember 2025, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memberi mandat kepada SPRM untuk mengetuai ‘Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara’.

BPT SPRM mengetuai pasukan ini bagi menyelaras penguatkuasaan pengimportan haram e-waste dan plastik serta merangka penyelesaian menyeluruh bersama kementerian, kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top