am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian kepada waktu bekerja syif bagi lima skim perkhidmatan kritikal di Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menetapkan waktu bekerja kepada 42 jam seminggu.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan berkata, pengecualian itu membabitkan seramai 82,637 petugas kesihatan.
Katanya, ia merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan.
“Kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap kebimbangan yang disuarakan petugas kesihatan berhubung pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Setelah meneliti secara mendalam keperluan operasi dan hakikat tugas kritikal yang dijalankan oleh petugas kesihatan yang terbabit secara langsung dalam menyelamatkan nyawa pesakit dari katil ke katil tanpa mengira masa, kerajaan melihat tanggungjawab sedemikian menuntut tahap kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi yang luar biasa.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kebajikan dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan penjawat awam, kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian kepada waktu bekerja syif bagi lima skim perkhidmatan kritikal KKM,” katanya.
Kenyataan itu berkata, langkah itu adalah komitmen Kerajaan MADANI untuk terus mendengar dan mengambil tindakan terhadap suara serta kebajikan petugas kesihatan yang menjadi tunjang sistem kesihatan negara.
Sebelum ini media melaporkan beberapa pihak menyuarakan kebimbangan mengenai arahan baharu di bawah SSPA yang memerlukan petugas hospital termasuk jururawat yang bekerja secara syif bertugas selama 45 jam seminggu, bertambah daripada 42 jam ketika ini.
Sehubungan itu pada Februari lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad memaklumkan kementeriannya memohon moratorium tempoh interim selama tiga bulan, antaranya bagi meneliti pelbagai cadangan dan mengadakan sesi libat urus membabitkan semua petugas yang terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd