Sebanyak 85% rakyat Malaysia kini menikmati penurunan bil elektrik sehingga 14% sejak pelaksanaan penstrukturan semula subsidi tenaga yang mula berkuat kuasa bulan ini, menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
85% rakyat kini bayar bil elektrik lebih rendah
Inisiatif ini dilihat sebagai antara pencapaian utama dasar MADANI yang bukan hanya menumpu kepada angka atas kertas, tetapi memberi kesan langsung dan kelegaan kepada majoriti rakyat.
“Ini membuktikan bahawa reformasi tidak semestinya membebankan. Ia memberi keadilan dan kelegaan kepada majoriti rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Reformasi tenaga yang diperkenalkan termasuklah penyasaran semula subsidi RON95, yang bakal menyaksikan harga bahan api itu diturunkan kepada RM1.99 seliter dengan penjimatan hasil subsidi disalurkan kembali kepada rakyat, bukan warga asing.
Mengulas lanjut, Fadillah menegaskan bahawa pendekatan menyeluruh dasar MADANI turut merangkumi pelbagai golongan rakyat dari desa hingga ke kota, termasuk inisiatif Kampung Angkat MADANI yang kini diperluas ke 200 kampung serta sasaran 1,000 Sekolah Angkat MADANI menjelang akhir 2025.
Banyak lagi inisiatif selain bil elektrik
Langkah memperluaskan Jualan Rahmah MADANI ke 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) turut dilihat sebagai satu lagi usaha strategik mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Sebagai anak jati Sarawak, beliau turut menyatakan penghargaan terhadap perhatian Kerajaan MADANI terhadap luar bandar dan wilayah Sabah dan Sarawak.
Artikel lain: PETRA labur RM5.9 bilion demi rakyat, 38 projek air diluluskan di Pahang
Kenaikan harga lantai padi, insentif getah dan program Sejati MADANI disebut sebagai bukti keprihatinan dasar yang benar-benar mendengar suara rakyat.
“Ia adalah seruan penyatuan dan penghargaan terhadap semua yang menyumbang kepada pembangunan negara dari kampung hingga ke bandar, dari penjawat awam hingga ke petani.
Ini bukti jelas betapa Malaysia MADANI bukan sekadar slogan, tetapi gerakan nasional yang kita jayakan bersama,” katanya lagi.
Beliau turut menyambut baik pengumuman Cuti Umum Tambahan sempena Hari Malaysia pada 15 September 2025, sebagai satu simbolik perpaduan nasional yang diraikan bersama seluruh rakyat Malaysia.