GEORGETOWN: Kira-kira 86 peratus daripada 6,022 anggota dan pegawai di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang telah menerima vaksin Covid-19.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, kesemua yang telah menerima suntikan vaksin itu adalah dalam kalangan anggota yang bertugas di lapangan dan perlu berdepan orang awam termasuk petugas di sekatan jalan raya.
“Kita telah mendapat komitmen daripada Kementerian Kesihatan untuk menyelesaikan suntikan vaksin Covid-19 kepada anggota dan petugas yang masih belum menerimanya.
“Kesemua anggota perlu mendapat vaksin Covid-19 yang lengkap kerana kita perlu gerakkan mereka di lapangan untuk menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui di IPK Pulau Pinang di sini semalam.
Terdahulu, Sahabudin menerima sumbangan kelengkapan bahan keperluan makanan untuk anggota IPK daripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.
Pada 28 Februari lalu, Pulau Pinang memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjadi penerima pertama vaksin berkenaan.
Selain Kon Yeow, Sahabudin turut menjadi antara 11 individu terawal di Pulau Pinang yang menerima suntikan vaksin berkenaan.
Menurut Sahabudin, tiada alahan teruk dilaporkan dalam kalangan anggota polis yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 itu.
“Ada yang alami demam biasa sahaja, tiada laporan diterima mengenai anggota yang berdepan alahan teruk selepas terima vaksin ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan Covid-19, orang ramai turut dinasihatkan menjaga keselamatan diri ketika berada di jalan raya dan di kediaman masing-masing.
“Aliran trafik di negeri ini masih tinggi kerana sektor ekonomi masih dibuka, jadi saya nasihatkan sila berhati-hati di jalan raya. Kediaman juga perlu dipantau rapi agar tidak menjadi sasaran kepada penjenayah ketika musim perayaan ini,” katanya.




