87 pusat hiburan diserbu, 215 gadis pelayan ditahan

87 pusat hiburan diserbu, 215 gadis pelayan ditahan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ops Noda oleh Polis Diraja Malaysia di seluruh negara selama dua hari berakhir kelmarin menahan 215 gadis pelayan pelanggan (GRO), hasil serbuan di 87 pusat hiburan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, serbuan dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi, dan Maksiat (D7) dengan memberi tumpuan kepada premis hiburan beroperasi tanpa lesen.

“Sejumlah 87 pusat hiburan di seluruh negara diperiksa dalam operasi ini dan 66 premis didapati tidak mempunyai lesen hiburan yang sah.

“Hasil pemeriksaan menahan pemilik premis, pekerja, pelanggan dan 215 wanita disyaki GRO berusia lingkungan 22 hingga 38 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, individu ditahan terdiri daripada warganegara Thailand seramai 76 orang, Indonesia (35 orang), Vietnam (65 orang), Myanmar (28 orang), China (5 orang), Laos (2 orang), dan Kemboja (4 orang).

Kesemua tangkapan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976,Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“PDRM menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua pusat hiburan di negara ini beroperasi mengikut syarat lesen dan didaftarkan.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top