88,000 usahawan mikro berdaftar, serta program di bawah PLATS

88,000 usahawan mikro berdaftar, serta program di bawah PLATS

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lebih 88,000 usahawan mikro berdaftar dan menyertai pelbagai program di bawah Platform Selangor (PLATS).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua peniaga ini bukan sekadar menerima akses kepada digitalisasi malah dibimbing melalui latihan, menerima bantuan pembiayaan, dan paling penting, diberi peluang untuk berkembang secara inklusif.

Menurutnya, PLATS yang dilancarkan pada tahun 2020 mempunyai matlamat jelas untuk memberi nafas baharu kepada peniaga kecil yang terjejas akibat pandemik.

“Bermula dengan Bazar Ramadan Digital yang pertama di Malaysia, PLATS berkembang daripada sebuah projek bantuan kepada satu ekosistem keusahawanan digital yang menyeluruh.

“Kisah mereka yang memulakan perniagaan dari rumah, dari gerai kecil, dari pasar malam dan hari ini berjaya mengorak langkah ke dunia digital, membina jenama dan menarik pelanggan dari seluruh pelusuk negeri, malah luar negara.

“Majlis Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2025 ini adalah platform yang mengangkat kisah kejayaan anak-anak negeri kita,” katanya ketika ucapan di Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2025, Hotel Wyndham di sini, malam ini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan perasmian MAPS 2025 dan menyampaikan anugerah kepada usahawan yang memenangi pelbagai kategori yang ditetapkan iaitu Anugerah Utama Usahawan Mikro, Anugerah kategori khas – Komuniti, Wanita, Muda, Inovasi dan Revolusi Teknologi dan 12 usahawan mikro terbaik peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ketika sembah ucapan itu juga, Amirudin memaklumkan antara pencapaian utama yang harus diraikan adalah lebih 1,000 peluang pekerjaan diwujudkan melalui program Rakan Digital Selangor.

“Usahawan mendapat akses kepada sistem Point of Sales (POS) serta layan menerima latihan bernilai lebih RM4,000 setiap seorang.

“Dan kini, lebih ramai yang berjaya mendapat pensijilan halal melalui program U-PLATS Halal yang membuka pintu ke pasaran lebih luas dan berdaya saing,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengajak semua pihak sama ada agensi kerajaan, pemain industri, institusi kewangan, mahupun masyarakat untuk terus berganding bahu membangunkan usahawan mikro dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Bantu mereka berkembang, bersaing secara sihat dan bantu mereka untuk berjaya serta memberi pulangan semula kepada negeri. Kita mahu lahirkan usahawan mikro hari ini sebagai pemilik perniagaan berjaya pada masa depan,” katanya.

Jelasnya, sejak beliau mengangkat aspirasi ‘Kita Selangor: Maju Bersama’ pada 2018, perkara yang difokuskan untuk membina negeri yang progresif, inklusif dan saksama.

“Kita tidak mahu membina kejayaan yang hanya dinikmati oleh segelintir golongan atasan. Kita mahu memastikan kejayaan ekonomi negeri ini turut dirasai oleh penjaja, pengusaha warung, penjual makanan tepi jalan dan semua yang gigih mencari rezeki untuk keluarga.

“Sebab itulah, PLATS diangkat secara rasmi di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di bawah Teras Ekonomi dan sektor tumpuan Ekonomi Digital. Ia bukan lagi program ad hoc tetapi kini dasar pembangunan negeri berjangka panjang, bersifat mampan dan inklusif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top