89 kanak-kanak Israel ditemui di sekolah haram di Koh Phangan

89 kanak-kanak Israel ditemui di sekolah haram di Koh Phangan

BANGKOK- Pihak berkuasa Thailand menyerbu sebuah sekolah yang beroperasi secara haram di Koh Phangan dan menemui 89 kanak-kanak warga Israel di premis berkenaan.

Serbuan dilakukan di Arki Kid School di Kampung Moo 3 di pulau pelancongan itu pada jam 12.30 tengah hari, waktu tempatan Jumaat lalu.

Menurut Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri (Isoc), premis itu hanya mempunyai lesen sebagai pusat jagaan kanak-kanak untuk 18 kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati terdapat 89 kanak-kanak warga Israel berusia antara dua hingga 12 tahun berada di situ.

Pihak berkuasa turut mendapati sekolah itu menggaji 40 pekerja warga Myanmar selain 12 pekerja daripada pelbagai negara lain.

Dalam operasi itu, pasangan warga Iran, Aidin Kishipoor dan Ndin Kishipoor masing-masing berusia 45 tahun serta seorang wanita Thailand berusia 61 tahun, Prathumthip Yu-in ditahan.

Mereka didakwa mengendalikan sekolah swasta tidak formal secara haram, menggaji pekerja asing tanpa permit kerja, gagal melaporkan penggajian warga asing serta melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak.

Menurut laman sesawang sekolah berkenaan, yuran pengajian ditetapkan sebanyak 64,000 baht (RM7,730) bagi setiap pelajar untuk satu semester.

Namun, laman itu tidak menjelaskan sama ada kurikulum yang digunakan diiktiraf secara rasmi.

“Kami tidak terikat sepenuhnya dengan kurikulum luar, namun pendekatan kami selaras dengan standard pendidikan antarabangsa bagi memastikan pelajar memperoleh asas pengetahuan setanding sekolah antarabangsa lain,” menurut kenyataan di laman web tersebut.

Tiga warga Afrika Selatan dan seorang warga Amerika Syarikat turut didakwa kerana bekerja tanpa permit.

Sementara itu, seorang wanita Perancis dan seorang lagi wanita Afrika Selatan yang memiliki permit kerja didakwa gagal melaporkan majikan serta jenis pekerjaan mereka.

Kesemua pekerja terbabit berusia antara 25 hingga 53 tahun.

Isoc memaklumkan tindakan undang-undang diambil susulan aduan mengenai warga asing yang menjalankan perniagaan sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

Koh Phangan kini menjadi destinasi popular dalam kalangan warga Israel dengan dianggarkan kira-kira 2,500 rakyat negara itu menetap di pulau berkenaan.

Keadaan itu turut mencetuskan ketegangan dan aduan berkaitan pemilikan hartanah serta operasi perniagaan yang didakwa tidak mematuhi undang-undang tempatan. – Agensi

Scroll to Top