89,292 premis di JB tertunggak cukai harta berjumlah RM214.1 juta

89,292 premis di JB tertunggak cukai harta berjumlah RM214.1 juta

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sebanyak 89,292 premis di bandaraya ini dikesan masih tertunggak untuk membayar cukai harta berjumlah RM214.1 juta dari awal tahun hingga 30 Jun lalu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, pihaknya setakat ini hanya berjaya mengutip RM43.1 juta cukai harta bagi tempoh berkenaan.

“Bagi melancarkan kutipan cukai ini satu pasukan khas yang ditubuhkan MBJB terdiri daripada 200 warga kerjanya akan menjalankan pertemuan secara terus dengan pemilik harta yang dikenal pasti mempunyai tunggakan.

“Mereka akan bertindak sebagai ejen cukai harta MBJB dan akan dibekalkan dengan kad kuasa rasmi dan dokumen pengenalan,” katanya dalam sidang media pada mesyuarat penuh MBJB di Menara MBJB di sini hari ini.

Menurut Mohd Haffiz, ejen berkenaan tidak akan menerima wang, sebaliknya hanya memberikan nasihat dan garis panduan untuk penyelesaian tunggakan cukai.

Katanya mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya sekiranya ada pihak meminta bayaran mendakwa mewakili pihak MBJB untuk mengutip tunggakan cukai terbabit.

“Proses cukai bermula apabila MBJB memberi bil tunggakan terlebih dahulu kepada mereka. Kemudian kita akan bagi notis dan dalam tempoh 14 hari mereka perlu menjelaskan tunggakan cukai terbabit.

“Selepas tamat tempoh penyerahan notis tersebut dan peringatan lanjut diberikan serta beberapa prosedur lain dilakukan sehingga mencecah lima tahun. Kemudian jika tidak pembayaran, pihak MBJB akan melelong barang-barang dalam rumah terbabit jika rumah berkenaan tidak kosong.

“Namun sekiranya rumah berkenaan kosong, premis berkenaan dilelong dan hasilnya akan digunakan untuk membayar tunggakan cukai manakala bakinya diserahkan kepada pemiliknya,”katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top