9 PPS untuk 124 keluarga mangsa banjir di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Hujan yang tinggi bertembung dengan ketinggian fenomena air pasang menyebabkan beberapa kawasan rendah berhampiran pantai di Terengganu dinaiki air, malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (MCDF) Che Adam A Rahman berkata, gelombang ketiga banjir kali ini mengakibatkan 439 orang dari 124 keluarga dipindahkan secara berperingkat ke sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

Beliau mengulas, jumlah mangsa paling tinggi setakat hari ini pada pukul 8 pagi adalah di Marang yang menempatkan 156 mangsa dari 42 keluarga di Sekolah Kebangsaan Rusila.

Menurut beliau Kuala Terengganu, tiga PPS dibuka untuk menempatkan 114 mangsa dari 36 keluarga. Begitu juga di Kuala Nerus, terdapat tiga PPS yang kini beroperasi untuk menempatkan 96 mangsa dari 22 keluarga sementara di Kemaman, 73 mangsa dari 24 keluarga berada dalam dua PPS.

Che Adam berkata, menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hujan 190 milimeter (mm) turun dalam enam hingga lapan jam malam tadi berbanding 200 mm hingga 250 mm selama satu bulan.

Fenomena itu menghalang air daripada sampai ke laut dengan lancar dan menyebabkan kebanyakan kawasan di bandar Kuala Terengganu dinaiki air, katanya kepada media hari ini.

Malay News
Farah Fauzi