am@hmetro.com.my
Seremban: Polis menumpaskan sindiket penipuan tawaran pekerjaan dalam talian tidak wujud terdiri daripada warga asing yang menjadikan sebuah rumah di daerah ini sebagai markas mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, sindiket itu dikesan menyasarkan mangsa dari luar negara.
“Serbuan hasil maklumat, pemantauan dan risikan oleh Bahagian Risikan/ Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJD) Seremban.
“Serbuan dijalankan menerusi Ops Belatuk, jam 3.30 petang semalam di sebuah rumah di daerah Seremban,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil serbuan itu membawa penangkapan sembilan suspek warga asing berusia lingkungan 28 hingga 46 tahun.
“Semua suspek disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari luar negara.
“Turut dirampas dalam serbuan berkenaan adalah sembilan set komputer, set komputer riba, 32 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 55 kad sim, dan seunit alat kawalan jauh pintu pagar yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan berkenaan,” katanya.
Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 11 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




