am@hmetro.com.my
Jitra: Sebanyak 900 keluarga di Kubang Pasu dan Kota Setar yang terkesan akibat banjir menerima bantuan bakul makanan dan keperluan rumah daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), hari ini.
Bantuan disampaikan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SKM Prihatin dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Komunikasi Komuniti Negeri Kedah di Dewan Taman Seri Utama, dekat sini.
Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri Shanmugam Mookan berkata, set bakul makanan itu bernilai keseluruhan RM60,000 dengan setiap keluarga menerima bakul makanan bernilai RM150.
“Selain CSR dan SKM, Gerakan Koperasi Negeri Kedah dan Pulau Pinang turut menyumbang RM20,000.
“Dianggarkan, seramai 900 anggota daripada enam koperasi turut terkesan dengan banjir,” katanya pada sidang media.
Sementara itu, Pengerusi SKM Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) berkata, setakat ini pihaknya sudah merangka pelan untuk membantu negeri-negeri yang terjejas oleh banjir termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah.
“Kedah adalah negeri kelima yang menerima bantuan ini. Di Kelantan, beberapa kawasan masih terjejas teruk, kami menunggu keadaan reda sebelum masuk membantu.
“Kami menerima data daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan berdasarkan data itu, kami turun ke lapangan,” katanya.
Sementara itu, penduduk Taman Seri Utama, Fauziah Dahlil, 60, berkata, banjir pada November lalu mengakibatkan perabot dan barangan elektrik di rumahnya musnah.
“Ketika kejadian, hanya saya dan anak bongsu, Nur Izzaty Mohd Bukhari, berusia 27 tahun, yang ketika itu masih berpantang selepas melahirkan anak sulung, berada di rumah.
“Saya dan Nur Izzaty terpaksa meredah air separas lutut membawa bayi perempuannya sebelum kami menyewa bilik di hotel bajet tidak jauh dari kediaman,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Seri Utama, di sini.
Fauziah bersyukur menerima bantuan bakul makanan malah menurutnya, dia turut sudah menerima bantuan banjir daripada kerajaan berjumlah RM1,000 membolehkannya membeli ‘water jet’ serta barangan keperluan lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




