am@hmetro.com.my
Jitra: Kira-kira 91 peratus kes rogol yang membabitkan remaja bawah umur di negeri ini adalah ‘suka sama suka’ akibat aktiviti pergaulan bebas.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sejak Januari hingga September tahun ini, 100 kes rogol direkodkan di negeri ini, dengan 91 daripadanya membabitkan pertemuan secara suka sama suka.
Beliau berkata, trend itu agak membimbangkan malah berharap ibu bapa mengambil peranan serta campur tangan dalam menangani perkara ini.
“Itulah sebabnya saya menegaskan bahawa kita tidak boleh berhenti menangani isu ini.
“Polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah termasuk guru serta agensi lain perlu bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk menanganinya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Abdul Rahim Mat.
Adzli turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada terutamanya apabila anak remaja mereka keluar lewat pada waktu malam.
“Jika anak-anak kita yang berusia 13 atau 15 tahun dan keluar pada waktu malam, mengapa ibu bapa tidak bertanya ke mana mereka pergi? Mengapa kita tidak mempersoalkannya?
“Kita perlu kembali ke zaman dahulu apabila masyarakat lebih bersikap jaga tepi kain (busy body) apabila orang ramai saling menjaga dan tidak takut untuk bertanya mengapa anak seseorang keluar lewat.
“Saya percaya kes gejala sosial seperti rogol dapat dikurangkan jika kita menghidupkan semula rasa prihatin itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




