91 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi di Nepal, China

PUTRAJAYA: Seramai 91 rakyat Malaysia yang dipercayai berada di Nepal dan China dilaporkan masih gagal dihubungi selepas banjir besar melanda sempadan Nepal-Tibet pada Rabu lalu.

Wisma Putra berkata, sebanyak 36 rakyat Malaysia dilaporkan gagal dihubungi di China, manakala 55 orang lagi melibatkan mereka yang berada di Nepal.

“Kementerian Luar Negeri (KLN) menerima maklumat daripada pihak berkuasa China dan ahli keluarga mengenai 36 rakyat Malaysia yang kini dilaporkan masih belum dapat dihubungi di kawasan yang mengalami gangguan
telekomunikasi.

“Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa China dan ahli keluarga untuk menghubungi individu berkenaan.

“Maklumat yang diterima turut disemak dengan laporan mengenai rakyat Malaysia di Nepal bagi mengenal pasti sebarang pertindihan, sementara proses pengesahan diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Kata Wisma Putra, pihaknya turut memperluas tindak balas konsular bagi warga Malaysia yang terkandas di China akibat gangguan perjalanan susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal.

Jelasnya, 72 rakyat Malaysia di Darchen, China telah disahkan selamat dan berada dalam keadaan sihat.

“Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang berhubung dengan kumpulan tersebut dan ahli keluarga mereka juga mengetahui keadaan mereka.

“Kedutaan sedang memberikan bantuan konsular, termasuk membantu urusan perjalanan mereka untuk meninggalkan Wilayah Autonomi Tibet, China,” katanya.

Sementara itu, di Nepal, 55 rakyat Malaysia masih dilaporkan belum dapat dihubungi, manakala dua lagi telah berjaya dihubungi.

Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu terus bekerjasama dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Kementerian Luar Negeri Nepal selain Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan dan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan kepastian mengenai keberadaan mereka.

“Operasi mencari dan menyelamat di Nepal masih diteruskan. Pihak berkuasa turut memantau risiko peningkatan aliran air dari Wilayah Autonomi Tibet, China,” katanya.

Untuk maklumat, setakat pukul 5 petang (waktu Nepal) pada 28 Ogos, sebanyak 771 orang telah diselamatkan, termasuk 116 warga asing.

“Berdasarkan senarai rasmi yang tersedia pada peringkat ini, tiada rakyat Malaysia dikenal pasti dalam kalangan warga asing yang telah diselamatkan.

“Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya telah beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat dan membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga mereka,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top