am@hmetro.com.my
Ipoh: Menyorok di dalam bilik kosong di bangunan lebih 24 tingkat yang sedang dalam pembinaan di Bercham, di sini. Itu tindakan pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk mengelak daripada ditahan ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, taktik itu gagal apabila 92 Pati berkenaan berjaya ditahan.
Pengarah JIM Perak, James Lee berkata, menerusi Ops Bersasar dikendalikan Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Perak bermula 10.30 pagi semalam dan berakhir 12.30 tengah hari itu, pihaknya memeriksa 141 individu dengan 92 daripadanya warga asing.
Menurutnya, kesemua 92 warga asing yang diperiksa termasuk seorang wanita, ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Pati ditahan terdiri daripada 66 warga Bangladesh, Nepal (sembilan), Myanmar (empat), Indonesia (12) dan Pakistan (1), membabitkan seramai 91 lelaki dan seorang wanita Indonesia, berusia antara 20 hingga 50 tahun,” katanya.
Menurutnya semua warga asing yang ditahan di dihantar ke Depot Imigresen Ipoh.
“Siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama, serta di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd