am@hmetro.com.my
Kulai: Sebanyak 96 kertas siasatan berkaitan kes vape mengandungi dadah direkodkan sejak awal 2024 hingga Mac lalu dengan lebih 70 peratus daripadanya sah mengandungi dadah synthetic cannabinoid dan amphetamine.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kerana itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara lebih agresif bagi menangani isu penjualan vape yang mengandungi cecair dadah.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, 96 kertas siasatan berkaitan kes vape mengandungi dadah direkodkan sejak awal 2024 hingga Mac lalu.
“Kita sedang menjalankan sesi libat urus yang lebih agresif dengan PDRM, makmal-makmal kami juga membuat pemeriksaan lanjut mengenainya.
“Kita juga akan membuat penguatkuasaan kepada sumber terutama sekali di peringkat pembuatan dan perkilangan untuk menyemak kandungan cecair vape,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau dan Hari Tuberculosis Sedunia, di sini, hari ini.
Mei lalu, KKM menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memantau isu penggunaan vape yang didakwa membabitkan penyalahgunaan dadah.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, penguatkuasaan dengan kerjasama PDRM itu antara lain untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan cecair dadah dalam vape berkenaan.
“Kita belum lagi arif berkaitan punca, di mana dan siapa pengeluar vape yang meletakkan kandungan dadah di dalam cartridge ataupun di dalam liquid vape itu.
“Kita masih mengumpul maklumat berkaitan penjualan vape mengandungi dadah ini sebelum mengambil tindakan menguatkuasakan akta-akta yang ada, termasuk di bawah bidang kuasa PDRM,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd