97 petani ceroboh tanah kerajaan Perak di Kanthan dapat ex gratia daripada pemaju

97 petani ceroboh tanah kerajaan Perak di Kanthan dapat ex gratia daripada pemaju

am@hmetro.com.my

Ipoh: Selepas hampir 20 tahun, isu pencerobohan tanah kerajaan oleh pertanian setinggan di Kanthan, Chemor, di sini, berjaya diselesaikan menerusi penyerahan ex gratia kepada 97 petani.

Wang ihsan itu disumbang syarikat pemaju, Advancecon Holdings Berhad yang akan membangunkan projek Silver Valley Technology Park (SVTP) di kawasan seluas 330 hektar itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee bagaimanapun berkata, nilai keseluruhan ex gratia itu tidak boleh didedahkan kepada umum atas persetujuan bersama pihak petani.

“Mengikut undang-undang, kerajaan tidak bertanggungjawab untuk membayar (pampasan kepada setinggan).

“Namun, kerajaan negeri memahami keadaan dan keperluan rakyat, kita bukan kerajaan zalim.

“Selepas perbincangan bersama pelbagai pihak termasuk pemaju, jadi kita dapat persetujuan supaya petani mendapat bayaran ex gratia dan memastikan pembangunan projek SVTP dapat dilaksanakan mengikut jadual,” katanya selepas Majlis Pengesahan dan Penyerahan Ex-Gratia di sebuah hotel, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Pemaju diwakili Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan Advancecon Tan Chee Keong.

Pada majlis itu, Loh menyerahkan wang ex gratia kepada 20 petani sebagai simbolik, manakala baki 77 petani lagi akan menerimanya melalui transaksi atas talian ke dalam akaun bank masing-masing, mulai 2 Disember ini.

Ditanya sama ada penyelesaian ex gratia akan dilaksanakan bagi situasi setinggan di tanah kerajaan di lokasi lain, Loh menjelaskan, perkara itu tertakluk kepada perbincangan antara pemaju dengan mereka yang menduduki secara tidak sah.

Menurutnya, langkah yang diambil menerusi penyerahan ex gratia itu bukanlah satu ketetapan yang perlu dilaksanakan dalam menangani aktiviti pertanian haram di tanah kerajaan.

“Saya tekankan Kerajaan Negeri Perak tidak membayar (ex gratia kepada setinggan).

“Jadi, bagi tempat lain (setinggan di tanah Kerajaan Negeri Perak), tuan tanah perlu bincang bersama orang yang menduduki,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top