99 lokasi kerap kemalangan maut dikenal pasti – Alexander

KUCHING – Penggunaan Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS) membolehkan Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti 99 lokasi kerap berlaku kemalangan maut atau blackspot di Jalan Persekutuan seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, RAMS yang dibangunkan KKR berasaskan inisiatif MYJalan berperanan mengurus, menganalisis dan memaparkan data kemalangan jalan raya secara sistematik, termasuk mengenal pasti lokasi kerap berlaku kemalangan.

“Purata hampir 18 nyawa terkorban setiap hari akibat kemalangan jalan raya di Malaysia adalah angka yang amat membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kursus Peluasan RAMS dan Pelaporan Data Kemalangan Jalan Raya di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui integrasi data kemalangan daripada Sistem Laporan Polis Bersepadu (iPRS) di bawah seliaan pihak polis, RAMS membolehkan perancangan dan pelaksanaan intervensi keselamatan jalan raya dibuat dengan lebih tepat dan pantas.

“Data yang tepat dan berkualiti merupakan asas penting dalam merancang infrastruktur jalan raya yang lebih selamat, cekap dan mampan,” katanya. – Bernama

Scroll to Top