zhahirah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 99 peratus pembeli di Malaysia bakal menggunakan kaedah pembayaran digital dalam tempoh setahun, menurut laporan Mastercard.
Menurut kajian Mastercard, hampir dua pertiga pengguna di Malaysia atau 63 peratus lebih gemar menggunakan kaedah baharu dan inovatif seperti pembayaran mudah alih Tap & Go, pembayaran biometrik, kod QR dan dompet mudah alih berbanding kaedah tradisional seperti wang tunai atau penggunaan kad secara manual.
Angka itu jauh mengatasi pengguna di Amerika Utara (25 peratus), Eropah (24 peratus) dan Asia Pasifik (53 peratus), sekali gus menunjukkan kesediaan tinggi rakyat Malaysia terhadap teknologi baharu.
Kajian turut mendapati bahawa pengguna mahu memilih kaedah pembayaran mereka dengan 93 peratus dijangka menggunakan lima atau lebih kaedah dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Walau bagaimanapun, penggunaan tunai tetap popular dan diguna 70 peratus pengguna tahun lalu, berbanding penggunaan kod QR (64 peratus), pembayaran segera (86 peratus) dan dompet digital (83 peratus), kata Mastercard.
Sementara itu, sebanyak 89 peratus pengguna berminat menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengurus kewangan selain keselamatan dan mencadangkan produk mengikut keperluan.
Pengguna turut mahu memaksimumkan nilai dengan 91 peratus pengguna mengambil kira keadaan kewangan semasa sebelum memilih kaedah pembayaran.
Sebanyak 75 peratus pengguna juga memilih aplikasi ‘super app’ atau aplikasi semua-dalam-satu bagi pembelian, pembayaran dan urusan lain dalam satu platform.
Bagi golongan muda, 54 peratus golongan Gen Z dan 46 peratus golongan Milenial lebih suka membeli menerusi media sosial.
Sebanyak 72 peratus pengguna di Malaysia turut memberitahu pembeliean mereka dipengaruhi personaliti digital.
Pemgurusn negara Mastercard bagi Malaysia dan Brunei, Beena Pothen berkata kajian ini mengesahkan bahawa evolusi digital dalam pembayaran sudah menjadi tumpuan utama di Malaysia. “Dengan gaya hidup ‘digital-first’ dan ‘mobile-first’ yang membentuk tingkah laku pengguna, inovasi dan keselamatan dalam pembayaran akan menjadi kunci untuk mengekalkan momentum ini,” katanya dalam kenyataan media, baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd