Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak lagi memperakui peralatan 3G memandangkan negara ini mahu menamatkan perkhidmatan rangkaian itu menjelang hujung tahun ini.
Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata suruhanjaya itu telah pun memulakan usaha tersebut pada tahun lepas ketika negara mula bergerak ke arah rangkaian 4G dan seterusnya.
”Kami telah memaklumkan kepada Jabatan Kastam, SIRIM dan semua agensi berkaitan bahawa kami tidak lagi memperakui peralatan 3G. Kami hanya akan membenarkan peralatan 4G dibawa masuk ke negara ini,” katanya pada program Bernama TV, The Nation yang bertajuk ‘Ke Arah Merealisasikan dan Mencapai Agenda Negara Digital’.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, bagi mereka yang masih menggunakan peralatan 3G, penyedia perkhidmatan masing-masing akan menawarkan pakej untuk membantu orang ramai yang mungkin mempunyai peranti 3G bagi membolehkan mereka bertukar ke peranti 4G dengan kos yang lebih rendah.
Sumber: Bernama
Malay News
Technology Desk



